Benarkah Gelanggi sebuah kota Hindu?


 Benarkah Gelanggi sebuah kota Hindu?


Sejak seminggu dua ini banyak page yang memperkatakan tentang Kota Gelanggi namun didapati lebih terarah mensensasikan fakta untuk tujuan pageview. Ada juga yang mengaitkan dengan Gua Kota Gelanggi yakni sebuah gua batu kapur yang terletak di Jernantut, Pahang. Tidak kurang pula yang menulis Kota Gelanggi sebagai kota Hindu purba yang lebih awal daripada Angkor Wat di Kemboja dan Borubudur.di Jawa. Untuk mengetahui kebenarannyanya kita harus melihat sumber primer China tentang negara 羅越 Luó yuè.


Dalam buku 吴时外国传 Wú shí wàiguó zhuán yang ditulis oleh 康泰 Kāngtài pada abad ke-3 yang merupakan catatan pelayaran China paling awal pada abad ke-3 menyebut, "拘利正东行,极崎头海边有居人,人皆有尾五六寸,名蒲罗中国,其俗食人". Belayar tegak ke arah timur dari Gōu lì (dibacakan Kou li) ke hujung tanah (Semenanjung) di tepi pantai terdapat penempatan orang-orang. Orang-orangnya semua ada ekor 5-6 inci, negara ini dinamakan 蒲罗中国 Pú luō zhōng guó. Adatnya memakan orang. 


Terjemahan bunyi 蒲罗 pú luō ialah "pulau", 中 zhōng ialah "hujung atau ujong". Maka Pú luō zhōng ialah Pulau Ujong. Setengah sejarahwan China mengatakan Pulau Ujong ialah nama asal bagi Singapura. Jika dikaitkan 拘利 Gōu lì yang dikatakan belayar tegak ke timur akan berjumpa Pulau Ujong iaitu Singapura, kemungkinan besar kedudukan Gōu lì adalah sebuah negara kuno di sebelah pantai barat di penghujung Semenanjung Tanah Melayu yang mungkin sekali ialah Daerah Pontian sekarang di mana tempat kapal-kapal singgah itu dipercayai ialah kuala Sungai Pulai yang dibina Pelabuhan Tanjung Pelepas sekarang.


Selain daripada itu dalam 梁书 Liáng shū, Buku Sejarah Dinasti Liang (502-/550) menyebut, "从扶南发,投拘利口,循海大湾中,正西北入,历湾边数国,一年余到天竺江口". Belayar dari Funan masuk ke muara Gōu lì kemudian mengelilingi satu teluk yang besar menuju tegak arah barat laut. Setelah melalui beberapa buah negara akhirnya setahun lebih sampailah ke muara Sungai 天竺 Tiānzhú.


Catatan ini menunjukkan kapal-kapal dari Funan akan melalui Laut China Selatan menuju ke hujung Tanah Semenanjung dan memasuki muara sungai di negara Gōu lì. Kemudiannya belayar arah barat laut dengan melalui sebuah teluk yang besar iaitu Teluk Benggala dan akhirnya sampai ke muara Sungai Gangga. Yang disebut 天竺 Tiānzhú ialah merujuk kepada "Hindu" yakni negara India. Maka Sungai 天竺 Tiānzhú ialah Sungai Gangga, sungai terbesar di India di mana para biksu Buddha akan turun di sini untuk ke Nalanda bagi mempelajari ugama Buddha.


Sehingga kini kita tidak menjumpai artifak yang boleh dikaitkan dengan kerajaan Gōu lì melainkan dari sumber rekod China. Dengan memiliki kedudukan yang strategik terlindung dari angin monson barat daya dan timur laut, Gōu lì tentulah sebuah pelabuhan yang maju ketika itu. Bagaimanapun ketika Dinasti Tang di abad ke-7 dan 8 tidak lagi disebut nama Gōu lì tetapi muncul nama 羅越 Luó yuè. Dipercayai Luó yuè menggantikan Gōu lì yang ketika itu ialah sebuah negara atau wilayah yang ditadbir terus dari Palembang di bawah penguasaan Srivijaya.


Dalam 新唐书 Xīn táng shū, Buku Sejarah Baru Tang menyebut, "又五日行至海硤、蕃人謂之「質」、南北百里、北岸則羅越国、南岸則佛逝国、佛逝国東水行四五日、至訶陵国、南中洲之最大者." Belayar lagi 5 hari sampailah ke selat. Orang-orang asing menyebutnya sebagai 質 zhì. Jarak utara selatan ratusan li, pantai utara ialah negara 羅越 Luó yuè manakala pantai selatan ialah negara 佛逝 Fó shì. Belayar ke timur 4 - 5 hari sampailah ke negara 訶陵 Hē líng. Ia adalah salah sebuah negara yang terbesar di 南中洲 Nán zhōngzhōu.


Yang dimaksudkan 質 zhì ialah Selat Singapura. Jika kapal berada di Selat Singapura maka di pantai utaranya ialah negara 羅越 Luó yuè iaitu di selatan negeri Johor. Di pantai selatan ialah negara 佛逝 Fó shì yang merujuk kepada Srivijaya yang berpusat di Palembang. Belayar ke timur atau lebih tepat ke tenggara ialah 訶陵 Hē líng yakni kerajaan Kalingga yang kemudiannya berubah kepada kerajaan Mataram Kuno di Jawa Tengah. Yang disebut 南中洲 Nán zhōngzhōu ialah sama dengan ungkapan 南海诸國 Nánhǎi zhū guó iaitu negara-negara Asia Tenggara. Bermakna Pulau Jawa adalah salah sebuah pulau yang terbesar di kalangan negara-negara Asia Tenggara.


Negara 羅越 Luó yuè yang tercatat dalam 新唐书 Xīn táng shū dipercayai ialah Gelanggi yang terletak di selatan Johor termasuklah Singapura. Menurut sejarahwan China perkataan "luoyue" adalah terjemahan bunyi bagi perkataan "la-aut atau laut" yang merujuk kepada Orang Laut yang mendiami selatan Johor dan Singapura. Dalam loghat orang-orang Guangdong menyebut huruf 羅 luó sebagai "lo" manakala huruf 越 yuè dibunyikan sebagai "yuet". Maka apabila mereka menyebut "laut" disebutkan "lo-yuet" atau seakan-akan "la-aut". Disebabkan di sini didiami oleh Orang Laut maka tempat itu dinamakan 羅越 Luó yuè.


Dalam catatan Dinasti Tang menyebut Luó yuè sebagai tempat persinggahan kapal-kapal sementara menunggu peralihan angin monson timur laut dan barat daya. Ia juga sebagai tempat untuk mendapatkan bekalan air bagi pelayaran seterusnya. Semasa Dinasti Tang tidak disebut lagi tentang Gōu lì atau Gōu lì telah ditawan oleh Srivijaya lalu membentuk negara Luó yuè. Dipercayai ketika itu pusat pemerintahan Luó yuè terletak di Sungai Johor. Berdasarkan catatan dari Xīn táng shū menunjukkan Luó yuè telah wujud di abad ke 8 semasa kerajaan Srivijaya maka Luó yuè atau Gelanggi mempunyai ciri-ciri negara Buddha.


Rekod Jepun menyatakan Putera Mahkota Jepun, Putera Takaoka, Shinnyo Hosshinno (780-856) mati di Luó yuè kerana diserang oleh harimau dalam perjalanan ke India untuk mempelajari ugama Buddha. Sebab itulah setiap tahun Kedutaan Jepun di Malaysia akan mengadakan upacara sembahyang memperingati roh di selatan Johor


Dalam Sulalatus Salatin mencatatkan, "hatta berapa lamanya berjalan itu datanglah ke negeri Langgiu; dahulu negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, sekarang lagi ada kota itu di hulu Sungai Johor. Adapun nama asal Langgiu itu dengan bahasa Siam ertinya Perbendaharaan Permata." Dipercayai petikan dari Sulalatus Salatin ini ialah merujuk kepada kerajaan Gelanggi yakni yang disebut Luó yuè dalam catatan China dan Jepun tetapi disebut Langgiu dalam bahasa Melayu. Sebutan Langgiu dipercayai berasal dari perkataan Siam "Ghlong-Keow". Lama-kelamaan Langgiu disebutkan Gelanggi.


Menurut sumber Tamil menyebut Chola telah menyerang Gelanggi di tahun 1025 ketika melakukan serangan ke atas pelabuhan Sungai Kampar yang juga pusat maritim Srivijaya. Kedudukan pelabuhan Sungai Kampar adalah bertentangan dengan Gelanggi yang dipisahkan oleh Selat Melaka. Dipercayai pelabuhan Gelanggi ialah tempat dibinanya Pelabuhan Pasir Gudang sekarang atau di kuala Sungai Johor.


Bagaimanapun Chola hanya memusnahkan pelabuhan Gelanggi sahaja tetapi tidak menyerang pusat kerajaan Gelanggi yang dipercayai terletak di hulu Sungai Johor. Itulah yang disebut sebagai Kota Gelanggi. Sehingga kini tidak dijumpai petunjuk tentang kota ini yang dipercayai tenggelam dalam Tasik Langgiu apabila kawasan ini digazetkan sebagai zon tadahan air yang dibinakan Empangan Linggiu. Oleh itu Kota Gelanggi yang merupakan pusat pemerintahan kerajaan Gelanggi di bawah Srivijaya sememangnya wujud yang disebut dalam catatan China dan Jepun sebagai 羅越 Luó yuè serta direkodkan sebagai Ghlong-Keow dalam bahasa Siam.


Setelah kemusnahan pelabuhan Gelanggi, Srivijaya membina pula pelabuhan di bahagian pulau. Nama 凌牙门 Líng yá mén yang merujuk kepada Temasik mula terdapat dalam buku 诸蕃志 Zhū fān zhì karangan Chau Ju-kua semasa Dinasti Sung yang diterbitkan di tahun 1225. Líng yá mén dicatatkan telah menjadi sebuah pelabuhan yang sibuk terletak di antara jalan perdagangan utama China-Barat. Disebutkan, "三佛齐 ..... 凌牙门经商三分之一始入其國". Líng yá mén menjalankan satu per tiga daripada perniagaan (dalam Srivijaya) dan kemudiannya barulah masuk (ke pelabuhan lain) dalam negara itu (Srivijaya).


Dalam tahun 1330 seorang pengembara dari Dinasti Yuan bernama 汪大渊 Wāng dàyuān yang pertama kali sampai ke Temasik dan sekembalinya ke China telah menulis buku 岛夷志略 Dǎo yí zhì lüè yang disiapkan di tahun 1349. Beliau mula melakukan pengembaraan secara solo dengan mengikuti kapal-kapal dagang antara tahun 1330 - 1335 dan 1337 - 1339. Dalam buku inilah mula disebutkan nama Singapura sebagai 单马锡 Dān mǎ xī (Tan ma si) yakni Temasik dan cerita Temasik diserang oleh Siam.


Wāng dàyuān menyebut, "近年以七十余艘来侵单马锡,攻打城池,一月不下,  本处闭关而守,不敢与争。遇爪哇使臣经过,暹人闻知乃遁,遂掠昔里而归。至正己丑夏五月,降于罗斛". Dalam beberapa tahun ini (Siam) telah menghantar lebih 70 buah kapal untuk menyerang Temasik namun sebulan pun tidak berjaya ditawan. Temasik menutup kotanya dan bertahan (sebulan) tetapi tidak berani untuk berperang. Ketika itu ada kapal utusan dari Jawa melalui Temasik, setelah orang-orang Siam mendengarnya lalu berundur dan kemudiannya balik ke Siam. Sehingga pada musim panas di bulan 5 tahun 己丑 Jǐ chǒu iaitu tahun 1349 akhirnya Temasik jatuh ke tangan 罗斛 Luō hú.


Sebagai rujukan, negara 罗斛 Luō hú semasa Dinasti Tang disebut Lavo Kingdom yang terletak dari bahagian tengah Lembangan Chao Phraya sehingga mengunjur ke Teluk Siam. Manakala jirannya 暹国 Xiān guó yang selalu disebut sebagai kerajaan Sukhothai menguasai bahagian utara dan barat negara Luō hú. Kemudiannya Sukhothai juga meluaskan pengaruh ke utara Semenanjung Tanah Melayu. Menurut catatan China, Xiān guó atau kerajaan Sukhothai akhirnya dikalahkan oleh Luō hú lalu membentuk 暹罗斛 Xiān luó hú yakni kerajaan Ayutthaya. Dalam tahun 1377 Maharaja Dinasti Ming menghadiahkan cop mohor dan dengan itu 暹罗斛 Xiān luó hú diubah kepada 暹罗 Xiān luó yakni Siam.


Ini bermakna setelah Temasik dikuasai oleh Siam dalam tahun 1349 dan pastinya Ghlong-Keow juga menjadi kota pentadbiran Siam di selatan sehinggalah Melaka menjadi kuat dan mengusir pengaruh Siam di Johor dan Temasik selepas lebih 100 tahun penguasaan Siam seperti yang dilakukan oleh Tun Perak. Ini kerana menurut catatan Míngshǐ,  Buku Sejarah Ming ketika Laksamana Zheng he melakukan ekspedisinya yang terakhir di tahun 1431, beliau terlebih dahulu telah dititahkan oleh Maharaja Yǒnglè untuk ke Siam dengan membawakan warkah Diraja dengan memberi amaran kepada Siam agar tidak mengganggu Melaka lagi. Sebenarnya ini adalah kali kedua Zheng he membawakan warkah untuk tujuan yang sama. Oleh itu bolehlah difahami bahawa pengaruh Siam di Johor dan Temasik berakhir beberapa tahun selepas tahun 1431. 


Maka dengan itu Ghlong-Keow atau dulunya Kota Gelanggi sudah pasti dibina dengan senibina Siam dan didirikan candi-candi dengan patung Buddha menyerupai yang terdapat di Thailand. Dengan tempoh sekitar 100 tahun penguasaan Siam sudah pastilah tiada lagi tinggalan artifak era Srivijaya. Walaupun jejak-jejak Kota Gelanggi yang dijumpai berbentuk runtuhan batu-batu dalam beberapa ekspedisi pencarian, namun sebahagian besarnya dipercayai tertanam di bawah hutan tebal yang merupakan kawasan tadahan air Empangan Linggiu. 


Dalam banyak penulisan tentang Gelanggi sering menyebut ia adalah sebuah kota Hindu namun berdasarkan catatan China sejak di abad ke-3 hingga 6 disebut Gōu lì dan semasa Dinasti Tang disebut Luó yuè sehinggalah Temasik ditakluki oleh Siam di tahun 1349, Kota Gelanggi disebut Ghlong-Keow. Tidak ditemui jejak pengaruh Hindu dalam kerajaan Gelanggi, ini kerana Srivijaya dan Siam mengamalkan ajaran ugama Buddha.

Komentar

Postingan Populer